Friday, 1 July 2011

L'histoire de l'origine des 'Nasi Lemak '

Translation: French: The history of the origin of 'Nasi Lemak'

Maka termaktub dalam Hikayat Melaka akan terjadinya satu jenis makanan kegemaran yang sememangnya berasal secara kebetulan dan tidak terduga-duga pada zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah yang teragung. Mak Leha yang menjadi balu akibat suami yang dipukau jin iblis. Terpaksalah dengan yang hati yang berat dan pilu menyara kehidupan sebagai tukang urut dalam Kesultanan Melaka yang agung menyuap dua mulut peninggalan arwah suami.

Anak perempuan Mak Leha, Timah namanya, menjaga dapur sepeninggalan ibunya. Maka terjadilah suatu trajedi semasa menanak nasi. Santan yang diperah untuk gulai jatuh tertumpah ke air jerangan nasi. Air mata Timah berlinangan mengenang nasibnya yang malang, sudah jatuh ditimpa tangga, sudah papa kedana pula. Beras secupak yang dipinjam Pak Ali ditumpahi santan. Kerana kesuntukan masa, tanpa cara lain, disidangkan makanan nasi dan gulai untuk ibu yang kepenatan dan kelaparan dengan hati kencang berdenyut bak lancang kapal Cina di selat Melaka pada hari bertaufan.

Maka dirasakan Mak Leha masakan anak belasan tahun. Nasinya terasa lain, dicakap manis tidak manis, dicakap basi tak basi, pegat pun tidak, lain tapi sedap pulak! Ditanyakan ibubanda akan anakandanya, "Hai Timah, nasi apa pulak ini?"

Seolah-olah tidak memahami soalan Mak Leha, Timahpun menjawab, "Nasi-lah, Mak! Nasi le, Nasi le Mak"

Ibunda menjawab, “Sedap juga nasi lemak ini!”

Maka tersebar luas akan kehikmahan dan kenikmatan juadah ini sehingga tersebar luas harum namanya hingga perantauan… Nasi lemak menjadi makanan ruji penduduk kebanyakan.

Demikian termaktub kisah hikayat Melaka…..tentang asal-usul nasi lemak!

1 comment:

When two tribes go to war...